Kategori Pelatih
Pada asasnya terdapat 3 jenis pelatih yang dilindungi di pusat ini dan mempunyai tafsiran dan maksudnya yang tersendiri iaitu:
1. Pelatih Kategori Perintah Mahkamah ( Seksyen 54(2) EJSS 1995 )
Pelatih Perintah Mahkamah ialah pelatih wanita yang memasuki pusat perlindungan ini melalui perintah mahkamah dan telah di sabitkan dengan mana-mana kesalahan di dalam Bahagian 4 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995.
Pelatih dalam kategori ini tidak megambil kira tahap umur, sebaliknya mengambil kira apa yang telah di putus dan di sabitkan oleh mahkamah.
Tempoh perlindungan juga bergantung kepada perintah hukuman yang telah di sabitkan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Syariah.
2. Pelatih Kategori Sebab Perlindungan
Pelatih Perlindungan ialah pelatih wanita yang memasuki pusat dengan sebab pihak Majlis Agama Islam Selangor bertindak sebagai pelindung yang ingin memberikan perlindungan dengan secara paksaan atau sukarela kepada pelatih tersebut dengan sebab-sebab tertentu iaitu:
a. Dalam Siasatan - Masalah sosial
b. Penderaan - Ancaman keselamatan
c. Penganiayaan - Seperti mangsa sumbang mahram, rogol dll.
d. Tiada tempat perlindungan - Keluarga tidak menerima.
Tempoh perlindungan bagi kategori sekurang-kurangnya 6 bulan dan tidak melebihi satu tahun. Walaubagaimanapun, pihak Majlis Agama Islam Selangor mempunyai bicaranya untuk membenarkan pelatih menamatkan tempoh perlindungan sekiranya mendapat permohonan daripada pemohon.
3. Pelatih Kategori Rumah Perlindungan
Pelatih Rumah Perlindungan ialah kumpulan wanita yang diterima masuk disebabkan berbagai-bagai masalah seperti rumahtangga, keluarga dan lain-lain lagi. Lazimnya, pemohon yang ingin mendapatkan kemudahan rumah perlindungan ini mestilah TIDAK terlibat dengan masalah sosial atau jenayah secara khususnya. Pemohon yang diterima masuk selepas ini akan dikenali sebagai Penghuni dan tidak dibenarkan untuk mengikuti sebarang aktiviti yang melibatkan pelatih. Pemohon yang diterima masuk tidak sepenuhnya mendapat kemudahan barangan keperluan, makan minum dan sebagainya sebagaimana pelatih yang lain. Sebaliknya, pemohon bagi kategori ini digalakkan untuk lebih berdikari. Walaubagaimanapun pihak pusat akan membantu dan memberikan kemudahan untuk kes-kes yang perlu sahaja. Had tempoh perlindungan adalah tidak melebihi 3 bulan sahaja dan bergantung kepada budi bicara bagi sebarang tempoh lanjutan.
| < Sebelum | Selepas > |
|---|




