UCAPAN DARI MAIS

Latar Belakang Perpustakaan Wakaf

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan sebuah badan yang diwujudkan untuk melaksanakan agenda membangunkan sosial dan ekonomi masyarakat Islam di negeri ini. Tanggungjawab ini diterjemahkan dengan jelas di dalam seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

“Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Negeri Selangor selaras dengan hukum syarak”

Kewajipan ini juga terkandung di dalam kenyataan Misi Majlis iaitu:
“Pembangunan ummah melalui pembentukan masyarakat beriman, berilmu dan berakhlak, ekonomi yang perkasa, usaha-usaha dakwah yang berkesan, pengurusan harta yang cekap dan institusi agama yang proaktif”

Salah satu dari strategi Majlis bagi memperkasakan misi ini ialah usaha “pembentukan masyarakat berilmu, beriman, dan berakhlak,” dan antara program yang menjayakan strategi ini ialah dengan tertubuhnya sebuah Perpustakaan Wakaf yang baru memulakan operasinya pada awal tahun 2008.

Sebagai sebuah institusi agama yang proaktif dan menyedari bahawa pembangunan ummah juga bermakna maklumat dan sumber bahan berkaitan dengannya perlu diakses oleh semua pihak, inisiatif diambil bagi membangunkan koleksi, kemudahan dan perkhidmatan Perpustakaan Wakaf yang bertempat di Wisma MAIS Seksyen 3, Shah Alam.